Saturday, November 3, 2012

Teks Pengacaraan Perhimpunan Pagi 2012



29 Okt 2012

بسم الله الرحمن الرحيم..السلام   عليكم  و رحمة  الله  و بركاته.. 
Dan salam sejahtera.

Yang  berusaha, Puan Hajah Norhayati bt. Saad, Guru Besar  Sekolah  Kebangsaan  Penaga,
Yang  dihormati, Barisan Penolong Kanan,
 Puan Hajah Fuziah bt. Karim, Penolong Kanan Pentadbiran,
Encik Zulkifli b. Mohamed, Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid,
Puan Juriah bt. Ismail, Penolong Kanan Ko-Kurikulum,
Rakan-rakan guru seterusnya
Yang dikasihi, anak-anak murid sekalian..

Memulakan perhimpunan rasmi kita pada pagi ini, marilah kita bersama-sama berdiri dan menyanyikan lagu Kebangsaan,iaitu lagu Negaraku, lagu Negeri Pulau Pinang dan lagu sekolah dengan penuh bersemangat. Sidang hadirin diminta berdiri. Dijemput adik Mohd Noor Hakim bin Mohd Yusof untuk memimpin nyanyian...

***************** Nyanyian lagu ***********************

Terima kasih diucapkan kepada adik Mohd Noor Hakim bin Mohd Yusof  dan semua atas nyayian yang penuh bersemangat sebentar tadi.

Seterusnya, majlis menjemput Adik Mohd Danial Haikal bin Masri untuk mengetuai bacaan Ikrar.Dipersilakan...

***************** Bacaan ikrar ***********************

Terima kasih diucapkan kepada Adik Mohd Danial Haikal bin Masri atas bacaan ikrar sebentar tadi.

Alhamdulillah, seiring kita menadah tangan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah Al-‘Aliey, Tuhan Yang Maha Tinggi kerana dengan limpah dan izin-Nya, kita dipertemukan lagi dalam  perhimpunan pada pagi ini.

Untuk makluman semua, guru yang bertugas pada minggu ini ialah Cg Intan Shafiena, Cg Jamaliah bt Jaafar dan ustazah sendiri. Jika kamu menghadapi sebarang masalah, bolehlah berjumpa dengan kami bertiga.

Pada kesempatan yang ada ini, ustazah mengambil peluang mengucapkan salam ‘eiduladha buat semua.

(( Murid-murid sekalian, sila beri perhatian. Di akhir cerita ustazah, ada beberapa soalan, sesiapa boleh jawab, ada hadiah yang menanti.........)) ^_^

Sedikit perkongsian tentang hari ‘eiduladha atau dalam bahasa melayunya kita sebut sebagai hari raya korban. Kenapa kita sebut sebagai hari raya korban?

Kerana pada hari raya korban iaitu pada 10 Zulhijjah, umat Islam disunatkan menunaikan ibadah korban. Juga pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah, juga disunatkan bagi umat Islam menunaikan ibadah korban. Antara binatang yang boleh dikorbankan, di negara-negara Arab mereka boleh menyembelih unta. Bagi kita rakyat Malaysia, kita boleh jadikan kerbau, lembu dan kambing sebagai binatang korban.

Kita sebut juga sebagai hari raya haji..kerana, pada bulan Zulhijjah ini, umat Islam yang berkemampuan akan mengerjakan haji di Baitullah.

Menyentuh tentang ‘pengorbanan’, dalam Islam, bermulanya pensyariatan ibadah korban melalui peristiwa Nabi Ibrahim AS diperintah oleh Allah SWT menyembelih Nabi Ismail AS. Disebut dalam Al-Quran dalam surah As-Soffat, ayat 102 :



102)  Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?".

"Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".


Kisah Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah agar menyembelih Nabi Ismail AS, Allah rakamkan dalam surah as-Saffat, ayat 102 – 109..sebagaimana diceritakan, ketika mana Nabi Allah Ibrahim AS hampir-hampir menyembelih anaknya Nabi Ismail AS lalu Allah SWT menggantikan dengan seekor kibas. Setelah itu, Nabi Ibrahim AS pun menyembelih kibas tersebut. Peristiwa inilah yang menjadi dasar pensyariatan korban pada hari raya haji.

((Pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail  (‘Alaihimassalam ) tadi ialah :

1) Berusaha mendidik diri agar menjadi anak yang soleh dengan mengikut semua arahan ibu-bapa kita selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

2) Bersabar dalam setiap dugaan dan ujian Allah. Seberat mana pun ujian dan dugaan Allah terhadap kita, BESAR dan BERAT lagi ujian Allah terhadap Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘Alaihimassalam.

3) Mereka yang kuat menghadapi ujian dan dugaan Allah, Allah sekali-kali tidak akan mensia-siakan perbuatan baik mereka..sepertimana Nabi Ibrahim AS yang mengutamakan cintanya kepada Allah melebihi cintanya terhadap anaknya sendiri, Allah anugerahkan kedudukan yang terpuji buat Nabi Ibrahim yang mana kita semua umat Islam sentiasa memuji Nabi Ibrahim AS dalam tahiyyat awal dan tahiyyat akhir.))

Setakat itu sahaja, sejarah bagaimana bermulanya syariat ibadah korban dalam Islam.

Soalan kuiz :
Tahun 1 : Nyatakan tarikh hari raya haji mengikut kalendar Hijrah....((10 Zulhijjah))

Tahun 2 : Nyatakan hari-hari tasyrik....((11,12,13 Zulhijjah))

Tahun 3 : Nyatakan 4 jenis haiwan yang boleh dijadikan binatang korban....((Unta, kerbau, lembu, kambing))

Tahun 4 : Nyatakan nama lain bagi ‘Baitullah’.... ((Kaabah))

Tahun 5 : Nyatakan peristiwa yg mnjadi dasar pensyariatan ibadah korban...((Peristiwa Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah agar menyembelih Nabi Ismail))

Tahun 6 : Nyatakan pengajaran yang boleh diambil daripada kisah tersebut...

Sedikit sahaja tentang tema kita pada minggu ini. Tema pada minggu ini ialah “Hormat-menghormati.” Disebut dalam Surah an-Nisa’, ayat 86:



“Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, Maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa )”


Antara penghormatan yang disyariatkan dalam Islam ialah ucapan salam. Apabila orang memberi salam kepada kita, “Assalamualaikum”, kita boleh jawab dengan yang lebih baik, “Waalaikumussalam warahmatullah” atau kita jawab dengan yang lebih baik lagi “Waalaikumussalam warahmatullah wa barakatuh” atau cukup kita jawab dengan penghormatan yang serupa iaitu dengan menjawab “ waalaikumussalam.”

Setakat ini dahulu ucapan ustazah..


PENGUMUMAN :


Seterusnya, majlis berbesar hati mempersilakan Puan Hajah Norhayati binti Saad, Guru Besar SK Penaga untuk menyampaikan ucapan. Dengan segala hormatnya, dipersilakan.

Terima kasih diucapkan kepada Puan Hajah Norhayati binti Saad. Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada kalam Guru Besar sebentar tadi.

Zikir Munajat Pembersih jiwa
Doa dipohon menjana taqwa

Bagi mengakhiri majlis kita pada pagi ini, marilah kita bersama-sama menadah tangan penuh kehambaan kepadaNya....,untuk itu, majlis mempersilakan Adik Mohd Ihsan bin Suhaimi untuk memimpin bacaan doa.....Dipersilakan.

Amin..ya rabbal alamin..
Ribuan kemaafan dipohon andai ada salah dan silap sepanjang mengacarakan majlis ini.

Sekian sahaja, salam hormat, wa bilLahit Taufiq walHidayah wassalamu `alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.





No comments:

Post a Comment